Ceritera Kita ;-) Aku, Kamu dan Mereka

Sunday, September 30, 2007

Semoga Berjaya... Angkasawan Negara

Program Angkasawan ialah program kebangsaan Malaysia untuk menghantar seorang rakyat Malaysia ke angkasa lepas. Beliau akan menyertai dua angkasawan lain menaiki kapal angkasa Soyuz milik Rusia yang akan berlabuh di Stesyen Angkasa Antarabangsa, yang sedang di dalam orbit mengelilingi Bumi pada ketinggian 360 km. Angkasawan negara akan menjalankan beberapa kajian saintifik di atas stesyen angkasa tersebut.

Program ini ialah sebahagian dari perjanjian imbang balik antara Malaysia dan Rusia berkaitan pembelian jet-jet pejuang Sukhoi-30MKM buatan Rusia oleh Malaysia . Melalui pakej ini, kerajaan Rusia bersetuju melatih dua rakyat Malaysia , dan salah seorang daripadanya akan terbang ke angkasa lepas manakala seorang lagi bertindak sebagai bantuan. Kerajaan Rusia akan menanggung segala kos.

Secara rasminya beliau akan digelar Angkasawan, iaitu perkataan Bahasa Malaysia bagi terma astronaut atau kosmonaut. Dua calon Angkasawan yang ketika ini sedang menjalani latihan dipilih daripada 11,000 pemohon melalui satu proses pemilihan terbuka yang bermula dalam bulan Oktober 2003 dan berakhir September 2006.

Program Angkasawanialah satu langkah raksaksa bagi Malaysia dalam membangunkan keupayaan saintifik dan teknologinya di samping membina imej yang mantap di peringkat antarabangsa. Program ini diharap melonjak rakyat Malaysia membina minat dalam pengajian angkasa khususnya dan sains dan teknologi amnya. Ia juga diharap menggalakkan industri saintifik dan angkasa tempatan. Ia juga direka untuk menanam semangat yakin boleh di kalangan golongan muda negara.

Program Angkasawan hanyalah satu langkah dalam penglibatan Malaysia di angkasa. Program Angkasawan, asasnya, menandakan permulaan satu bab yang baru dan menarik dalam sejarah Malaysia.

Jangan ketinggalan menyaksikan siaran langsung pelepasan Angkasawan Pertama Negara pada 10 Oktober 2007 kelak di Astrp Ch588

[sumber : Laman web Program Angkasawan Negara]

No comments: