Ceritera Kita ;-) Aku, Kamu dan Mereka

Thursday, December 29, 2005

Hartanah Mega 2005: Yang Tertinggi, Terbesar, Termahal… Seantero Dunia

Rumah Paling Mahal Dibeli di Dunia – Kensington Palace Gardens, London
~ Kediaman termahal itu dimiliki jutawan besi keluli dari India, Lakshi Mittal yang membelinya dari tokoh Formula One, Bernie Ecclestone pada harga US$128 juta. Kediaman 12 bilik itu juga mempunyai garaj kereta yang boleh memuatkan 20 buah kereta, bilik mandian gaya Turki, dan kolam mandi berukiran kerawang indah. Jiran terdekat Mittal adalah keluarga diraja British dan Sultan Brunei.

Rumah Paling Lama Dibina: Hearst Castle, California
~ Rumah itu dimiliki oleh keluarga jutawan Amerika, Hearst yang mulanya dijadikan rumah percutian keluarga. Ia mula dibina pada 1922 untuk William Randolph Hearst dengan kos lebih dari US$30 juta dan siap sepenuhnya tiga dekad kemudian. Rumah agam itu terletak di kawasan seluas 40 ribu ekar yang dibeli oleh George Hearst pada 1865. Apabila Randolph mewarisi kekayaan keluarga Hearst itu, keluasan tanah bertambah kepada 250 ribu ekar. Rumah agam itu direka oleh arkitek ternama, Julia Morgan. Rumah itu memiliki 165 bilik dan taman bunga seluas 127 ekar, kolam mandi dan siar jalan kaki. Ia selayaknya menjadi sebuah istana kerana mempunyai rumah utama yang besar, selain tiga buah rumah tetamu, 41 pendiang, 61 bilik air, 19 bilik menunggu, dan 56 bilik tidur. Hearst Corp seterusnya telah mendermakan kediaman mereka kepada kerajaan negeri California dan menjadi warisan negeri itu.

Bangunan Pelbagai Guna Termahal - Time Warner Center, New York
~ Kompleks itu menelan belanja US$1.7 bilion yang dibina selepas tragedi 11 September. Fasa paling awal siap ialah menara pencakar langit dua menara setinggi 55 tingkat dengan ketinggian 229 meter dan berdiri dengan kedalaman asasnya 135 meter. Kompleks bangunan itu juga mengandungi antara lainnya, One Central Park, yakni 198 unit kondominium mewah. Empat unit penthouse dijual pada harga US$25 – US$35 juta . Unit kondominium termahal seluas 17 ribu kaki persegi dan setinggi dua tingkat berjaya dijual pada kadar US$64 juta!

Kawasan Sewaan Ruang Beli-Belah Termahal – 5th Avenue, New York
~ Kadar sewaan ruang beli belah di situ mencecah US$580 bagi setiap kaki persegi. Tempat kedua sewa termahal dunia ialah Causeway Bay, Hong Kong dan diikuti Avenue des Champs Elysees, Paris.

Suit Hotel Paling Mahal di Amerika – The Mansion MGM Grand Las Vegas
~ Ia direka mengikut model vila Florentine yang memuatkan 29 buah suit dengan perkhidmatan butler peribadi. Ia dilengkapi ruang makan malam, kolam persendirian, spa peribadi dan dua orang chef. Pada kadar US$5,000 anda hanya layak mendapat bilik tanpa almari! Vila paling besar seluas 9 ribu kaki persegi boleh disewa pada kadar US$15,000 semalam. Tetamu akan dijemput dengan kereta Rolls Royce terus dari lapangan terbang.

Sumber: The Edge (Business & Investment Weekly) , 26 Disember 2005 – 8 Januari 2006. TQ Asta
Bersambung....