Ceritera Kita ;-) Aku, Kamu dan Mereka

Friday, December 30, 2005

Hartanah Mega 2005 : Yang Tertinggi, Terbesar, Termahal (sambungan)

Bilik Hotel Paling Mahal di Dunia – Imperial Suite, Switzerland
~ Kadar sewa ialah US$33,000 semalam. Suit itu seluas satu tingkat bangunan yang hanya boleh dinaiki melalui lif peribadi. Ia mempunyai empat bilik tidur yang mengadap Tasik Geneva. Ruang makan malam boleh memuatkan 26 orang pada satu-satu masa. Ruang tamu mempunyai meja billiard, lounge koktel dan perpustakaan. Semua tingkap dan pintu adalah kalis peluru.

Hotel Paling Mahal Dibina – The Emirates Palace, Abu Dhabi
~ Ia menelan kos RM13.27 bilion! Hotel mega itu dimiliki kerajaan Abu Dhabi. Lobinya mempunyai kubah yang lebih luas dari St Paul’s Cathedral di London. Kemuncaknya adalah ukiran emas tulen seberat 20 kg, manakala daunan awan larat emas tulen sepanjang 6,040 meter persegi menghiasinya. Hotel itu mempunyai enam buah suit yang dikhususkan untuk penginapan keluarga diraja Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.

Ruang Pejabat Termahal – Mayfair, London
~ Kadar sewa di Mayfair adalah dua kali lebih mahal dari sewa ruang pejabat di New York dan Tokyo. Kadar sewaan di City’s West Endnya mencecah US$199 bagi setiap kaki persegi berbanding US$120 sekaki persegi di Paris.

Resort Pulau Termahal – Rania, Maldives
~ Resort itu mengenakan caj US$10, 000 semalam semasa musim puncak. Kadar merangkumi penggunaan kapal layar, penggunaan spa tanpa had, makan dan minum. Dengan bayaran US$750 berikutnya, anda boleh membawa seorang teman. Kadar di luar musim puncak ialah US$8,000 semalam.

Taman Tema Terbesar Dunia – Disney World, Florida
~ Taman tema seluas 30 ribu ekar itu mula dibuka pada 1971 dengan kos US$400 juta. Ia merangkumi empat taman tema, tiga taman air, sebuah kompleks sukan, dan beberapa lapangan golf. Pelawat boleh bergembira dengan berbagai aktiviti meriangkan seperti berenang, menaiki bot, mendaki, berbasikal; di samping membeli-belah, menjamu selera dan pastinya berhibur dengan dunia fantasi Disney! Kompleks taman tema itu juga mempunyai 18 buah hotel.

Istana Kediaman Terbesar di Dunia – Istana Nurul Iman, Brunei
~ Istana kediaman Sultan Brunei itu mempunyai keluasan 2.15 juta kaki persegi. Ia lengkap dengan 1, 788 bilik dan 257 bilik mandi! Terletak di muara Sungai Brunei, ia menjadi bukti kekayaan Sultan Brunei.

Gedung Beli-Belah Terbesar Dunia – Macy’s New York
~ Macy’s merangkumi 11 tingkat bangunan dan menelan keseluruhan blok Herald Square, New York City. Macy’s seluas 2.15 juta kaki persegi.

Terminal Lapangan Terbang Terbesar Dunia – Hong Kong International Airport
~ Terminal itu seluas 136 ekar dan sepanjang 1.3 km. Ia mula dibuka pada 1998, mempunyai 48 ruang letak kapal terbang, 2.72 km siar pejalan kaki automatik, 5,500 buah pintu, 80 ribu buah lampu dan 28.9 ekar lantainya berpermaidani.

Bangunan Tertinggi Dunia - Taipei 101, Taiwan
~ Bangunan berbentuk buluh itu mengatasi rekod yang dipegang Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (452 meter). Taipei 101 mempunyai ketinggian 509 meter; 101 tingkat dan mampu menahan gegaran gempa bumi pada skala 7 Richter ke atas. Ia mempunyai lif terpantas di dunia dengan mencatat masa 39 saat sahaja untuk naik ke tingkat 90! Rekod Taipei 101 akan diatasi sedikit masa lagi bila menara pencakar langit di Shanghai dijangka siap pada 2007.

Hotel Tertinggi Di Dunia – Burj Al Arab, Dubai
~ Hotel setinggi 321 meter itu lebih tinggi dari Menara Eiffel di Perancis dan rendah sedikit dari Empire State Building, New York. Ia mempunyai dua suit diraja pada tingkat 25. Kadar sewaan ialah US$6,800 semalam. Ia direka seakan layar kapal dan dibina di atas pulau buatan manusia. Burj Al Arab mempunyai 202 suit dan seluas 1.2 juta kaki persegi.

Sumber: The Edge (Business & Investment Weekly) , 26 Disember 2005 – 8 Januari 2006. TQ Asta

1 comment:

Anonymous said...

abg zam... thanks for the info...