Siri Mengurus Kewangan Peribadi - 2
Lindungi Diri Anda Semasa Perjalanan Di Luar Negara
Setiap perjalanan ke luar negara, sama ada untuk melancong atau kerana urusan pekerjaan dan perniagaan, selalunya diharapkan menjadi pengalaman yang menceriakan diri. Namun, malang tak berbau, adakalanya apa yang dirancang tidak menjadi; ceria yang diidam tetapi bencana yang menimpa. Lebih memburukkan keadaan jika ia berlaku di tempat asing yang mana bantuan yang dipinta tidak mudah dihulur. Untuk mengelakkan diri kita terperangkap dalam situasi sedemikian, mempunyai polisi insurans perjalanan adalah suatu langkah yang bijak.
Kenapa kita perlukan insurans perjalanan?
Ada dua sebab utama:
(1) Kos perubatan yang tinggi
Kos perubatan di negara asing selalunya lebih mahal, apatah lagi jika kita berkunjung ke negara yang mempunyai kadar tukaran mata wang yang lebih tinggi. Mengikut Channel4.com, kos rawatan sakit jantung di Sepanyol adalah pada sekitar £35,000 dan kos merawat tulang pinggul yang patah di Amerika Syarikat adalah £22,531. Kos akan lebih tinggi jika kita perlu mendapat rawatan susulan di negara kita nanti.
(2) Harga Polisi Insurans yang Berpatutan
Premium bagi polisi insurans perjalanan adalah berpatutan dengan perlindungan yang diberikan olehnya. Kadar premium yang minima untuk perjalanan di negara-negara Asia hanyalah RM30, RM50 bagi seluruh dunia dan hanya RM15 untuk perjalanan domestik.
Faedah-faedahnya
Perlindungan oleh insurans perjalanan biasanya mencakupi:
- Kelewatan Bagasi – Anda boleh menuntut pembayaran ganti (reimbursement) jika bagasi terlewat sampai. Tuntutan yang boleh dibuat meliputi belanja kecemasan anda membeli barang-barang perlu seperti pakaian dan barang-barang penjagaan diri.
- Kehilangan Bagasi & Kerosakan – Liputan perlindungan akan mencakupi kos kehilangan bagasi dan kos membaiki bagasi yang rosak.
- Pembatalan Trip – Pembayaran ganti akan diberi jika anda membatalkan perjalanan disebabkan kematian, sakit atau kecederaan yang berlaku kepada anda mahupun ahli keluarga terdekat.
- Kelewatan Penerbangan – Anda akan dibayar jika terkandas di mana-mana lapangan terbang.
- Kemalangan – Perlindungan meliputi kematian, dan kecacatan kekal yang menghalang anda untuk terus bekerja.
- Belanja Perubatan – Perlindungan belanja perubatan akan membiayai rawatan anda jika jatuh sakit di luar negara. Sesetengah syarikat insurans menawarkan perlindungan tambahan meliputi:
- Pemindahan dan Penghantaran Pulang Semasa Kecemasan - Perlindungan ditawarkan meliputi perbelanjaan memindahkan anda ke hospital yang mempunyai kemudahan perubatan yang sempurna. Insurans turut meliputi belanja menghantar anda pulang ke Malaysia untuk menjalani rawatan.
- Perbelanjaan Pelawat – Insurans turut membiayai kos lawatan oleh seorang daripada ahli keluarga atau rakan.
- Penghantaran Pulang Jenazah – Kos penghantaran jenazah ke tanah air akan diliputi oleh insurans ini jika melibatkan kematian peserta di luar negara.
Faktor-faktor yang perlu difikirkan
Sebelum membeli sebarang insurans perjalanan, anda perlu mempertimbangkan perkara-perkara berikut:
- Keperluan terhadap polisi – Pada beberapa tahap, keperluan terhadap insurans bergantung kepada status kesihatan kita. Jika keadaan kesihatan kita memerlukan rawatan di hospital, maka adalah bijak untuk membeli polisi berkaitan.
- Insurans sedia ada – Kita perlu melihat faedah pada insurans perjalanan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans dan membandingkannya dengan liputan pada insurans yang telah kita beli. Kalau kita sudah mempunyai polisi insurans kemalangan diri, kesihatan, dan liabiliti diri maka adalah lebih baik jika kita memilih polisi individu untuk mengelakkan pembelian insurans yang meliputi perkara yang telah dilindungi.
- Kekerapan Perjalanan – Jika anda kerap ke luar negara, maka belilah polisi tahunan dan bukannya polisi berdasarkan trip. Polisi sedemikian mungkin tidaklah menjimatkan, tetapi memudahkan diri kerana anda tidak perlu membeli polisi setiap kali mahu berpergian.
- Aktiviti Semasa Perjalanan – Jika anda melancong dan berhajat mencuba aktiviti baru seperti sukan musim sejuk, maka pastikan polisi insurans memberi perlindungan pada anda.
Panduan membeli insurans perjalanan
- Pastikan anda mendapatkan insurans daripada syarikat yang mempunyai reputasi yang baik dalam perkhidmatan dan menawarkan premium yang berpatutan.
- Pastikan agen insurans adalah ahli berdaftar Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
- Dapatkan seberapa banyak sebut harga daripada pelbagai syarikat insurans sedia ada sebagai perbandingan sebelum membuat pembelian.
- Baca dan fahami polisi insurans. Jika anda dapati polisi mengelirukan, sila hubungi syarikat insurans dengan segera.
Jauh berjalan, maka luaslah pandangan dan berbagai pengalaman akan dilalui dan dirasai. Namun, pengalaman pahit seperti kehilangan bagasi, kecederaan dan penerbangan yang terkandas merupakan perkara yang akan dielak oleh semua orang. Bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”, maka pembelian insurans perjalanan dapat menyediakan diri kita untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan di luar dugaan.
* Diterjemah dan disesuaikan oleh Astana daripada sisipan “Personal Finance: Managing Money Responsibly Vol. II” oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan The Sunday Mail (11 Disember 2005).
1 comment:
R : wah!!! tak pernah terfikir pun nak baca istilah " Siri Mengurus Kewangan Peribadi " ni... walaupun selalu mengadap buku personal money dan macam2 buku yang sewaktu dengan nya... thanks abg zam & credit 2 asta...
Post a Comment