Siri Mengurus Kewangan Peribadi - 1
Suatu masa dahulu, perjalanan ke luar negara sering dianggap sebagai kemewahan. Namun, perkembangan semasa memperlihatkan trend yang mana lebih ramai rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, sama ada untuk urusan perniagaan mahupun bersantai. Faktor-faktor seperti harga tiket penerbangan yang semakin murah, pakej percutian ke luar negara yang menarik dan kepentingan urusan perniagaan dengan negara luar menyumbang kepada peningkatan jumlah perjalanan itu.
Perancangan kewangan adalah sangat penting pada saat diri kita dibuai emosi untuk melihat tempat baru dan merasai budaya asing. Tanpa perancangan yang berhemah, perjalanan yang dimulai dengan ilusi penuh keghairahan dikhuatiri akan berakhir dengan mimpi ngeri, atau setidak-tidaknya menjadi sebuah perjalanan yang tidak diingini. Artikel ringkas ini akan membincangkan persediaan kewangan sebelum kita memulakan sebuah perjalanan ke luar negara.
(1) Ketahui kos perjalanan
Kos perjalanan terpulang kepada pilihan yang kita buat sendiri. Anda perlu membelanjakan RM1,000 semalam jika menginap di sebuah hotel lima bintang di sesebuah negara maju berbanding hanya ¼ daripada jumlah itu jika anda menginap di sebuah hotel bajet rendah di negara yang sama. Anda perlu mengeluarkan RM15,000 untuk tiket penerbangan kelas bisnes ke Britain, tetapi dengan memilih kelas ekonomi, anda hanya membelanjakan RM3,000. Contoh yang diberi ini dapat memberi idea kepada anda untuk merancang perbelanjaan dengan lebih berhemah.
Terdapat beberapa cara untuk anda mendapatkan tiket penerbangan biaya rendah. Berkunjunglah ke pesta pelancongan yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan berkaitan untuk mendapat pakej yang menjimatkan. Contoh terbaik ialah pesta yang dianjurkan oleh The Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA) pada waktu-waktu tertentu.
Jika anda selesa untuk menaiki penerbangan berbajet rendah seperti Air Asia, sila buat tempahan lebih awal. Perjalanan sehala ke Bangkok pada kadar promosi dalam masa sebulan dari sekarang adalah pada RM109.99. Bandingkan kosnya ialah pada kadar RM319.99 (tidak termasuk cukai lapangan terbang) jika anda ingin terbang ke sana hari ini juga!
Jadi, pilihlah tempat yang hendak dituju, rancangkan pelan perjalanan dengan sempurna dan sesuaikan bajet anda.
(2) Dapatkan Insurans
Kita selalu mengabaikan insurans pelancongan/perjalanan sedangkan ia merupakan antara perkara penting dalam senarai keperluan sebelum berangkat ke luar negara. Cakupan perlindungan yang anda harus lihat pada sesebuah polisi insurans adalah:
- Liputan perjalanan ke seluruh dunia;
- Pembiayaan perbelanjaan perubatan jika anda jatuh sakit;
- Gantirugi jika bagasi anda hilang, dicuri atau rosak;
- Liabiliti individu jika anda melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kecederaan terhadap orang lain atau harta-benda mereka;
- Aktiviti sukan dan rekreasi yang anda tidak pernah lakukan sebelum ini seperti skuba dan berkayak;
- Sukan musim sejuk (jika anda memilih untuk pakej cuti musim sejuk).
Jumlah premium yang perlu anda bayar bergantung kepada jenis perlindungan dan jumlah yang diinsuranskan. Di Malaysia, ada dua syarikat yang menawarkan insurans sebegini iaitu Tahan Insurance dan ASIA Insurance.
Satu lagi cara untuk mendapatkan perlindungan insurans adalah dengan menggunakan kad kredit untuk membeli tiket penerbangan. Syarikat-syarikat kad kredit biasanya menyediakan perlindungan insurans untuk perjalanan pelanggan mereka. Walau bagaimanapun, sila dapatkan penjelasan daripada mereka terlebih dahulu.
(3) Variasi Medium Kewangan
Duit merupakan komponen yang amat penting dalam merancang perjalanan anda. Apabila melancong, anda mempunyai beberapa pilihan, sama ada menggunakan wang tunai, kad ATM, kad kredit atau cek kembara. Setiap pilihan ini mempunyai kebaikan dan keburukannya.
- Wang Tunai – senang diguna dan selalunya diterima dalam setiap transaksi. Keburukannya ialah ia tidak boleh diganti jika hilang atau dicuri. Sebelum anda menukar duit kepada mata wang asing, tinjaulah sekeliling, buatlah perbandingan antara pengurup-pengurup wang yang sedia ada untuk mendapat kadar tukaran yang paling baik. Bank dan pengurup di lapangan terbang selalunya menawarkan tukaran pada kadar yang rendah, jadi mulakan meninjau pilihan lain yang lebih menguntungkan. Anda juga digalakkan membawa dollar Amerika apabila melawat negara-negara tertentu. Misalnya, jika anda melancong ke Rusia, adalah lebih mudah menukar dollar Amerika kepada Ruble berbanding Ringgit Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.mytravel.com, untuk mendapatkan maklumat mengenai mata wang yang mudah diterima di sesetengah negara.
- Cek Kembara – Anda perlu memastikan negara yang bakal dilawati dapat menerima cek kembara kerana "lain padang lain belalangnya". Peniaga di Romania tidak suka menerima cek kembara berbanding penggunannya yang lebih popular di Amerika Syarikat. Anda juga perlu ingat bahawa ada dua caj akan dikenakan oleh pihak bank apabila anda menggunakan cek kembara. Pertama, apabila anda membeli cek kembara, kebanyakan bank akan mengenakan caj satu peratus daripada jumlah amaun cek itu. Bank akan mengenakan caj berikutnya apabila cek itu ditunaikan. Sesetengah bank di Eropah mengenakan komisen sehingga enam peratus. Sebaiknya anda membeli cek kembara daripada peruncit yang akan menunaikan cek-cek kembara secara percuma. Jika anda memilih untuk membeli dari pihak bank, pastikan cek itu boleh didepositkan kepada akaun bank anda dengan percuma.
- Kad Kredit dan Kad Debit - Kebanyakan pengendali kad kredit mengenakan caj beban penggunaan luar negara terhadap sebarang aktiviti kad kredit di negara asing dan pengeluaran wang di luar negara. Jadi, anda perlu memastikan jumlah yang akan dikenakan. Jika anda mempunyai lebih daripada satu kad kredit, maka pilihlah pengendali kad yang mengenakan caj pada kadar yang lebih rendah. Jika anda adalah pemegang kad debit, pastikan anda melihat tanda Cirrus atau Maestro sebelum mengeluarkan wang dari mesin ATM di luar negara.
Walau apa pun pilihan mod perbelanjaan anda nanti, pastikan semuanya disimpan dengan selamat. Pastikan anda mempunyai senarai nombor telefon pihak berkaitan untuk dihubungi jika anda kehilangan kad semasa di rantau. Jangan lupa untuk menulis nombor siri cek-cek kembara anda dan simpanlah di tempat yang selamat. Perancangan yang baik akan memastikan perjalanan yang selesa, selamat dan bermanfaat.
* Diterjemah dan disesuaikan oleh Astana daripada sisipan "Personal Finance: Managing Money Responsibly Vol. II" oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan The Sunday Mail (11 Disember 2005).
2 comments:
R : Good subject to talk about!!! all need to read how to manage their money... hehhehehhe... including me...
That's a great story. Waiting for more. » »
Post a Comment