Ceritera Kita ;-) Aku, Kamu dan Mereka

Saturday, January 28, 2006

JAGA BAJU JAGA PENAMPILAN

  • Amalkan Teori Penggiliran

Seperti badan kita, baju juga perlu rehat. Pastikan anda menggilir-gilirkan pakaian dalam koleksi anda. Suit umpamanya, perlukan rehat sekurang-kurangnya sehari suntuk sebelum anda menggunakannya semula. Dalam sebulan, anda mempunyai lebih kurang 20 hari bekerja, jadi pastikan anda memiliki 20 pasang baju dan seluar (jika anda mampu). Baju yang anda pakai pada minggu pertama boleh diulang pakai pada minggu pertama bulan berikutnya. Seluar boleh dipakai untuk 2 hari dalam seminggu, terutamanya yang berwarna gelap kerana orang tidak mudah perasan berbanding baju.

  • Gantung Selepas Pakai Sebelum Dibasuh

Jangan jadi pemalas! Walau sibuk sekali pun, jangan sesekali mencampakkan pakaian anda di merata-rata tempat. Ia bukan setakat menyakitkan pandangan, tetapi akan merosakkan fabrik selain boleh menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Dengan menggantung pakaian, ia boleh mengembalikan pakaian kepada bentuk asalnya dan memudahkan anda mencucinya.

  • Dedahkan Pakaian Kepada Udara

Sesekali buka almari pakaian anda bagi memudahkan pengaliran udara dan menghilangkan bau yang kurang menyenangkan.

  • Bersihkannya

Habuk biasanya merosakkan fabrik. Untuk mengatasinya, bersihkan baju-baju anda dengan menyapu habuk-habuk halus yang melekat pada fabrik.

  • Cuci Baju/Seluar Anda

Sebaiknya basuh baju anda dengan tangan. Ini lebih baik kerana baju yang anda pakai (terutamanya di pejabat) tidak kotor dan tidak memerlukan basuhan berlebihan. Jika anda menggunakan mesin basuh, pastikan baju dan seluar itu diterbalikkan. Untuk cucian, gunakan bahan yang tidak terlalu kuat kandungan kimianya. Pisahkan baju berwarna cerah dan baju berwarna gelap. Basuh baju putih berasingan. Jika baju atau seluar anda berzip, pastikan kancing zip tersebut dahulu sebelum memasukkannya ke dalam mesin basuh. Cara ini boleh mengelakkan zip daripada rosak.

  • Menggosok

Cara yang paling baik dan selamat ialah menghantar baju atau seluar ke kedai cucian kering (dry cleaning). Namun, carilah kedai yang benar-benar anda tahu kualiti perkhidmatannya. Kebanyakan kedai biasanya menggunakan bahan kimia yang murah sebagai pencuci. Ia akan merosakkan fabrik dan melunturkan warna. Jika anda ingin menggosok sendiri, sila gunakan kain, sehelai brown paper atau tisu yang diletakkan di atas lapisan kain sebelum menggosok. Cara ini boleh mengekalkan warna asli baju atau seluar, selain mengelakkan ia rosak kerana kesilapan anda semasa menggosok. Sebelum menggosok, pastikan anda membaca tag yang terdapat pada baju dan seluar untuk melihat kesesuaian kepanasan yang diperlukan untuk menggosok.

  • Elakkan Menggunakan Pin

Sebaiknya elakkan penggunaan aksesori yang memerlukan anda melekatkan pin di baju terutamanya di bahagian poket atas sebelah kanan baju. Menggunakan pin yang besar boleh memberikan kesan berlubang yang kekal dan mencacatkan penampilan anda.

  • Membersihkan Kekotoran

Dapatkan khidmat nasihat daripada pakar atau bacalah artikel tentang cara terbaik membuang kotoran pada fabrik. Pilih bahan penghapus kotoran yang sesuai dengan jenis fabrik kerana banyak di antaranya mempunyai kandungan bahan kimia yang berlebihan dan boleh merosakkan pakaian kesayangan anda.

  • Tanamkan Sikap Berhati-hati & Cermat

Jika anda merokok, berhati-hatilah kerana serpihan api rokok mungkin akan melubangkan baju atau seluar anda, terutamanya yang diperbuat daripada fabrik yang sensitif.

Sumber: Disesuaikan dari “Jaga Baju Jaga Penampilan”, Umph, Januari 2006, hlm. 12-13. TQ Asta

No comments: